
obmar
|
Senika nobat karya pelukis lama, mudaSenika nobat karya pelukis lama, muda
Oleh Amran Abdullah
DAPAT PERHATIAN: Pengunjung tertarik menyaksikan pameran
seni lukis yang terdapat dalam galeri.
KARYA lukisan mampu menenangkan jiwa dan membangkitkan inspirasi bukan saja kepada pelukisnya, malah orang yang melihatnya. Ketenangan jiwa inilah yang diserapkan menerusi hasil seni yang dicurahkan ke dalam kanvas atau kertas.
Berpusat di bandar Kuantan, akhirnya melebarkan sayapnya di bandar diraja Pekan, Persatuan Senilukis dan Senireka (Senika) bukan saja menobatkan barisan pelukis lama yang semakin matang pengalaman, sebaliknya turut menghimpunkan pelukis-pelukis cilik seusia lima tahun untuk diasuh dan dikembangkan bakat mereka.
Anjung Senika yang terletak di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di Pekan adalah komitmen Senika menterjemah isi hati dan hasrat pelukis dan pereka yang bernaung di bawah persatuan itu memperagakan hasil karya mereka untuk tatapan umum.
SUTERA Pahang turut dijadikan kolaj lukisan.
Lukisan alam semula jadi, potret, kolaj, figura, kehidupan haiwan mahupun reka cipta menggunakan kaedah awetan, tampalan atau cat minyak tampak menarik, kemas dan menyerlahkan kewibawaan serta kemahiran pembuatnya.
Pengerusi Senika, Mohd Shaimy Hashim, berkata kepercayaan Majlis Daerah Pekan memberikan sebuah bangunan berunsurkan reka bentuk tradisional di taman itu memberi ruang kepada pelukis dan pereka di negeri itu mengembangkan bakat dan penghasilan karya mereka.
Senika akan berusaha menggunakan bangunan berkenaan dengan kegiatan yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat termasuk kanak-kanak serta remaja untuk berkarya dan menceburi bidang seni itu.
Di bawah Anjung Senika itu juga, aktiviti seperti seni lukis, seni reka, bengkel, pameran, pertandingan dan jualan akan dilaksanakan bagi memberi peluang kepada para pelukis dalam usaha meningkatkan diri mereka dalam kerja-kerja seni itu.
Dalam meniti hari dan kematangan, Senika semakin berpengalaman. Sebaik ditubuhkan pada tahun 1984, oleh penggiatnya Abdul Latif Awang dan Mohd Shaimy Hashim, mereka tidak lagi menoleh ke belakang.
DUA anak harimau dalam lukisan ini
adalah gambaran kehidupan haiwan itu di
hutan semula jadi Pahang.
Senika telah mengorak langkah yang lebih jauh. Persatuan terus menggiatkan usaha dengan pertandingan dan pameran dalam pelbagai pusat perniagaan utama di bandar Kuantan.
Dengan jiwa dan semangat yang besar, Senika menganjurkan pameran ‘Nostalgia Pekan’ dan pameran seni lukis dan seni reka bersempena Hari Keputeraan Sultan Pahang,
Senika turut menganjurkan Pameran Terbuka Pahang 2002. Pameran ini dianggap besar kerana pada masa inilah, Senika turut menjayakan pertemuan pelukis seluruh Negara, termasuklah menyiapkan lukisan terpanjang 151 meter pada tahun itu.
Hasilnya Senika menerima sijil Malaysia Book Of Records kerana kejayaan itu dan usaha ini menjadi perangsang dan titik tolak dalam perkembangan sejarah seni lukis negeri Pahang serta Senika sendiri.
Selain, pameran seni lukis dan seni reka tahunan ahli-ahlinya, Senika turut menganjurkan pameran pada Pesta Berakit menghilir Sungai Pahang, Pesta Burung di Bukit Fraser, Pesta Bunga di Cameron Highlands, Pameran Cat Air, Potret dan Figura Pahang untuk memberi pendedahan dan pengalaman kepada pelukisanya.
Senika menghantar ahlinya merintis Sungai Pahang, Tasik Chini mahupun Tasik Bera bagi menyelami alam semula jadinya. Hasilnya, mereka berhasil melukis landskap semula jadi alam kehidupan.
Potret dan wajah kehidupan manusia tidak dilupakan, justeru wajah inilah yang turut melestarikan alam lukisan di Pahang serta diabadikan dalam Anjung Senika mahupun Galeri Senika yang ada di Kuantan. Ia abadikan dalam Anjung Senika mahupun Galeri Senika yang terdapat di bandar yang turut melestarikan alam lukisan di Pahang.
Senika turut mengorak kejayaan apabila karya ahli-ahlinya turut menyertai dan memenangi pelbagai pertandingan lukisan dan seni reka yang dianjurkan beberapa negeri dan pertubuhan di negara ini.
Demikian halnya, pembabitan golongan istana yang turut membeli dan menyimpan karya-karya pelukis Senika dalam bentuk potret, landskap, monument dan replika memberi semangat dan ruang bagi ahlinya berkarya lebih jauh.
Impian untuk mendapat tempat di Balai Seni Lukis Negara juga tercapai, sebaik karya ahli-ahlinya terpamer di galeri idaman setiap pelukis negara ini. Ini membuka ruang kepada Senika menyumbang bakti dan peranan sebagai badan pelukis yang unggul di Pahang.
|
|
|
|