
obmar
|
Seha harap jumpa anak sulungSeha harap jumpa anak sulung
Oleh Roslen Fadzil dan Suzan Ahmad
KUALA LUMPUR: Bekas penyanyi kumpulan Freedom, Norsehah Abu Bakar atau Seha yang kini menderita dan sedang melawan penyakit kanser paru-paru, berharap dapat bertemu semula dengan anak sulungnya Misha Kyrie Lund, 15, yang sudah lebih lapan tahun terpisah.
Norsehah Abu Bakar
(gambar 2002).
Dalam pertemuan eksklusif dengan Berita Minggu di kediamannya di sini, semalam, Seha, 44, mengakui kerinduan terhadap Misha sentiasa menyelubungi hidupnya sejak beliau berpisah dengan suami pertamanya Chris Lund Abdullah, pada 1998.
“Memang pada saat begini, saya cukup rindukan Misha. Daripada berita yang saya dengar, mereka kini menetap di Arab Saudi. Dengan bantuan saudara dan rakan, saya harap satu hari nanti, kami dapat dipertemukan semula,” kata Seha dalam nada terharu dan perlahan.
Seha berkata, selepas bercerai dengan Chris, dia mendirikan rumah tangga dengan seorang tokoh korporat, kira-kira tiga tahun lalu dan mereka kini menetap bersama anak keduanya, Karissa Iris Lund, 10, yang juga hasil perkongsian hidup dengan suami pertama.
Seha yang sedang berehat selepas pulang daripada menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), berkata seperti penghidap kanser lain, dia perlu menjalani rawatan rapi termasuk radioterapi dan kimoterapi.
“Setakat ini, saya sudah dua kali menjalani kimoterapi dan empat radioterapi. Saya perlu lalui enam lagi radioterapi mulai Isnin ini,” katanya yang disahkan menghidap barah itu sejak dua bulan lalu.
Seha yang terkenal dengan lagu Mulanya Di Sini bersama Freedom berkata, ketika ini doktor menasihatkannya banyak berehat.
Beliau yang pasrah dengan ketentuan takdir, berdoa semoga kesihatannya dapat dipulihkan dan mampu menjalani kehidupan ceria seperti sedia kala.
“Tapi saya ingin jelaskan di sini yang saya tidaklah terlantar sakit atau tenat seperti dihebohkan,” katanya.
|
|
|
|